Kenyataan Media Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah 2014

Kenyataan Media

Laporan Kajian Pendapatan Isi Rumah Malaysia 2014: Kesenjangan wilayah semakin meluas

24 JUN – Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (PPIR & KA) 2014 yang diterbitkan oleh Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan kemajuan dari segi kesenjangan pendapatan negara secara keseluruhan, di mana Pekali Gini menurun daripada 0.431 pada tahun 2012 kepada 0.401 pada tahun 2014.

Namun, apabila fokus diberikan pada negeri masing-masing, kajian Institut Rakyat mendapati kesenjangan wilayah semakin meluas di mana jurang negeri paling tidak saksama dan lebih saksama meningkat, sebanyak 9 negeri kurang daripada pendapatan penengah nasional RM4,585 sebulan, serta kadar kemiskinan mutlak tidak menggambarkan realiti sebenar. Kesemua ini merupakan cabaran utama dalam usaha kerajaan mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Jurang negeri paling tidak saksama dan lebih saksama bertambah

Laporan ini merujuk Pekali Gini sebagai satu ukuran pemusatan pendapatan. Nilai Pekali Gini berada antara “0” dan “1”. Nilai “1” bererti seseorang itu memiliki segala-galanya, manakala nilai “0” bererti kesaksamaan pendapatan di kalangan semua orang. Adalah lebih baik jika nilai menghampiri “0”.

Berdasarkan laporan Jabatan Statistik Malaysia ini, negeri dengan agihan pendapatan lebih saksama pada tahun 2014 adalah Melaka (0.316),  manakala paling tidak saksama Kuala Lumpur (0.407), melebihi Pekali Gini nasional 0.401. Kuala Lumpur didapati 1.29 kali ganda tidak saksama berbanding Melaka.

Jadual 1 memperlihatkan perbezaan antara negeri yang paling tidak saksama dengan negeri yang lebih saksama pada tahun 2014 lebih tinggi daripada tahun 2007, di mana Perlis (0.454) hanya 1.23 kali ganda tidak saksama berbanding Johor (0.368) . Ini bermakna jurang di antara negeri yang paling tidak saksama dan negeri yang lebih saksama semakin meluas.

Jadual 1: Perbezaan antara negeri yang lebih saksama dan paling tidak saksama, 2007-2014.

Tahun

Pekali Gini

Kali Ganda

Gini Tertinggi

Gini Terendah

2007

0.454 (Perlis)

0.368 (Johor)

1.23

2009

0.454 (Sabah)

0.372 (Negeri Sembilan)

1.22

2012

0.455 (Perlis)

0.354 (Pahang)

1.29

2014

0.407 (Kuala Lumpur)

0.316 (Melaka)

1.29

(Sumber: Laporan PPIR & KA 2014: 121; kiraan penulis)

 

 

9 negeri di bawah pendapatan penengah nasional 

Menurut laporan ini, 50 peratus daripada isi rumah Malaysia berpendapatan RM4,585 ke atas sebulan, peningkatan sebanyak 11.7 peratus setahun sejak tahun 2012 (RM3,626). Namun hanya 5 daripada 14 negeri mempunyai pendapatan bulanan penengah melebihi RM4,585, 9 negeri yang selainnya berada di bawah pendapatan penengah nasional, kedudukan yang sama pada tahun 2012.

Jadual 2 memberikan gambaran pendapatan penengah bagi setiap negeri. Misalnya separuh daripada warga Kuala Lumpur berpendapatan RM7,620 ke atas sebulan, 2.8 kali ganda gaji 50 peratus rakyat Kelantan yang hanya berpendapatan RM2,716 ke atas sebulan.

Jadual 2: Pendapatan isi rumah bulanan penengah mengikut negeri, 2014.

Negeri

Penengah, 2014 (RM)

Kuala Lumpur

7,620

Selangor

6,214

Johor

5,197

Melaka

5,029

Pulau Pinang

4,702

MALAYSIA

4,585

Negeri Sembilan

4,128

Sarawak

3,778

Terengganu

3,777

Sabah

3,745

Perlis

3,500

Perak

3,451

Kedah

3,451

Pahang

3,389

Kelantan

2,716

(Sumber: Laporan PPIR & KA 2014: 50)

5 negeri yang melebihi pendapatan penengah nasional: Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Melaka dan Pulau Pinang kelihatan tertumpu di pantai barat dan selatan Semenanjung Malaysia, manakala 9 negeri yang di bawah pendapatan penengah nasional kebanyakan di kawasan pantai timur dan utara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Garis kemiskinan mutlak tidak gambarkan realiti sebenar

Konsep kemiskinan yang digunakan dalam laporan ini mengambil kira Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) makanan dan bukan makanan bagi setiap isi rumah. Sesebuah isi rumah dianggap “miskin” jika pendapatan mereka kurang daripada nilai PGK yang ditetapkan, manakala sesebuah isi rumah dianggap “miskin tegar” jika pendapatannya kurang daripada nilai PGK makanan.

Di bawah PGK tetap Semenanjung Malaysia RM930, Sabah RM1,170 dan Sarawak RM990, kadar kemiskinan bagi keseluruhan negara jatuh daripada 1.7 peratus pada tahun 2012 kepada 0.6 peratus pada tahun 2014, bersamaan dengan lebih kurang 40 ribu isi rumah.

Namun angka ini tidak menggambarkan realiti yang sebenar kerana tahap kemiskinan bergantung pada kaedah pengiraan. Apabila kadar kemiskinan diukur berdasarkan kemiskinan mutlak (absolute poverty) iaitu PGK tetap kerajaan, kadar kemiskinan mencatatkan hanya 0.6 peratus pada tahun 2014.

Jika kadar kemiskinan diukur dengan kadar kemiskinan relatif (relative poverty rate) yang merupakan separuh daripada pendapatan penengah, maka garis kemiskinan relatif adalah RM2,293, atau separuh daripada pendapatan penengah RM4,585.

Dalam erti kata lain, sebuah isi rumah dianggap miskin jika pendapatan bulanan kurang daripada RM2,293. Maka implikasinya adalah lebih 20 peratus isi rumah atau 1.3 juta isi rumah berada di bawah paras kemiskinan relatif pada tahun 2014.

Kadar upah dan kesenjangan pendapatan

Upah merupakan punca pendapatan isi rumah yang terbesar iaitu Pekerjaan Bergaji 65.0 peratus, diikuti oleh Bekerja Sendiri (16.0%), pendapatan daripada Harta & Pelaburan (112.4%) dan Pindahan Semasa diterima (7.6%). Peluang pendidikan tinggi yang semakin luas membolehkan graduan melibatkan diri dalam sektor kerja berkemahiran tinggi.

Laporan PPIR & KA 2014 menunjukkan pendapatan penengah bagi ketua isi rumah yang memperoleh taraf pendidikan SPM ke atas seperti STPM, diploma atau sijil dan ijazah didapati melebihi pendapatan penengah nasional RM4,585 dengan RM5,170, RM6,510, RM10,494 masing-masing.

Namun menurut Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh suku tahun ketiga 2014, pekerja berkemahiran tinggi masih rendah pada kadar 25% daripada keseluruhan tenaga kerja, berbanding dengan Singapura, Korea Selatan dan Taiwan yang telah melebihi 30 peratus.

Selain itu, kerajaan menetapkan gaji minima RM900 sebulan yang nyata rendah daripada PGK tetap Semenanjung Malaysia RM930, Sabah RM1,170 dan Sarawak RM990. Pendirian kerajaan tidak meningkatkan paras gaji minima sepertimana dicadangkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia turut menyebabkan upah bagi pekerja berkemahiran rendah kekal di bawah paras pendapatan garis kemiskinan.

Pada tahun 2013, hanya 33.6% Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia tergolong sebagai perkongsian upah (wage shares), satu jumlah yang jauh lebih rendah berbanding dengan Thailand 63% (2006), South Korea 64.2% (2013), dan Japan 59.7% (2013).

Malah kadar pertumbuhan upah 2.6% setahun lebih rendah daripada kadar pertumbuhan produktiviti 6.7% setahun bagi sepanjang tahun 2000-2010. Maka kadar upah serta pertambahan upah yang rendah terus menyumbang kepada jurang negeri paling tidak saksama dan lebih saksama semakin meluas.

Pindahan semasa seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) menyumbang kepada pertambahan pendapatan secara one-off. Sebuah isi rumah yang berpendapatan gaji minima mungkin melepasi PGK kerana menerima BR1M pada bulan tertentu, namun ia tetap akan berada di bawah PGK tanpa BR1M. Menurut Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 yang diterbitkan oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, BR1M hanya menyumbang kepada pengurangan 1 peratus dalam jurang kuasa membeli di antara yang miskin dan kaya. Impak ini adalah kecil berbanding dengan dasar gaji minima RM900 yang menyumbang kepada pengurangan sebanyak 8 peratus dan dasar pendidikan asas untuk semua sebanyak 4 peratus.

Kesimpulan

Sesungguhnya kerajaan bukan sahaja wajar mengatasi cabaran kesenjangan pendapatan yang masih tinggi di sesetengah negeri malah kesenjangan wilayah di mana negeri-negeri yang melebihi pendapatan penengah nasional hanya tertumpu di pantai barat.

Masyarakat yang tidak saksama, baik disebabkan oleh pembangunan ekonomi yang hanya tertumpu di kawasan tertentu sahaja mahupun kekurangan infrastrutur sosial yang menjaminkan kesamarataan peluang, akan menimbulkan masalah kemiskinan dan pengangguran, seterusnya meningkatkan kos sosial.

Maka, dalam sebuah masyarakat yang sedang membangun seperti Malaysia, kadar kemiskinan relatif adalah penting kerana ia mengukur jumlah isi rumah yang terletak jauh daripada pendapatan penengah, di mana isi rumah yang berada di bawah 50 peratus daripada pendapatan penengah dianggap miskin.

Ukuran kemiskinan relatif ini berguna untuk memahami ketidaksamaan pendapatan relatif dalam masyarakat. Semakin kecil kadar kemiskinan relatif, lebih saksama sesebuah masyarakat. Namun ukuran kaedah kemiskinan mutlak kekal penting bagi memastikan tiada isi rumah terjatuh ke dalam kancah kemiskinan tegar.

Malah, keutamaan harus diberikan untuk membangunkan industri yang mempunyai nilai tambah yang tinggi (higher value-added), menyediakan persekitaran yang kondusif bagi menggalakkan pertumbuhan industri baru dan berdaya, serta menjamin hak pekerja untuk merundingkan gaji yang saksama bagi menambahkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan gaji.

Kerajaan juga wajar menjamin akses golongan berpendapatan menengah kepada perumahan mampu milik kerana sewa dinilai (imputed rent) bagi rumah sendiri yang diduduki oleh pemiliknya juga merupakan satu bentuk pendapatan. Kerajaan perlu memberi tekanan supaya harga rumah tidak melambung tinggi, dan berusaha menaikkan upah bagi menutup jurang antara keadaan pasaran dan keinginan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri.

Hakikat bahawa Laporan PPIR & KA 2014, seperti laporan tahun 2012, tidak meliputi penempatan Orang Asli di Semenanjung Malaysia amat mengecewakan kerana gagal memberi gambaran lebih tepat mengenai kemiskinan negara ini. Golongan yang sering terpinggir daripada arus pembangunan ini sekali lagi terpinggir daripada kajian pendapatan yang paling menyeluruh di Malaysia memperlihatkan komitmen kerajaan dalam mencapai pertumbuhan ekonomi inklusif dan pengagihan kekayaan yang benar-benar saksama masih perlu dipertingkatkan.

GINIE LIM

Penolong Pengarah Penyelidik

[email protected]